Upacara Emmy Anugerah_Emmy

Emmy Waktu Perdana

Anugerah Emmy Waktu Perdana (Primetime Emmy Awards) disampaikan sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan dalam penerbitan rancangan televisyen waktu perdana di Amerika Syarikat. Upacara ini biasanya diadakan pada pertengahan bulan September, pada hari Ahad sebelum bermulanya musim televisyen musim luruh, dan disiarkan secara bergilir-gilir oleh rangkaian ABC, CBS, NBC, dan Fox.

Sesetengah kategori anugerah yang dihadiahkan kepada kakitangan belakang tabir seperti pengarah seni, pereka busana, jurukamera, pengarah uji bakat, dan penyunting bunyi disampaikan dalam upacara Anugerah Emmy Seni Kreatif yang diadakan secara berasingan beberapa hari sebelumnya.

Emmy Waktu Siang

Anugerah Emmy Waktu Siang (Daytime Emmy Awards) yang lazimnya diadakan pada bulan Jun, disampaikan sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan dalam penerbitan televisyen waktu siang di Amerika Syarikat. Anugerah Emmy bertema waktu siang dihadiahkan pada upacara waktu perdana pada tahun 1972, tetapi pada tahun 1974 barulah upacara berasingan untuk rancangan waktu siang mula dianjurkan.

Seperti dengan Emmy Waktu Perdana, upacara Emmy Seni Kreatif berasingan juga diadakan beberapa hari sebelum upacara sebenar untuk menghargai kakitangan belakang tabir penerbitan televisyen waktu siang.

Emmy Sukan

Anugerah Emmy Sukan dihadiahkan untuk kecemerlangan dalam rancangan sukan. Upacaranya diadakan pada musim bunga, lebih kurang dalam dua minggu terakhir bulan April atau minggu pertama bulan Mei, pada malam hari Isnin di Bandaraya New York.

Emmy Antarabangsa

Pertubuhan Akademi Seni dan Sains Televisyen Antarabangsa menghadiahkan Anugerah Emmy Antarabangsa kepada rancangan televisyen terbaik yang dihasilkan dan mula-mula disiarkan di luar Amerika Syarikat. Upacaranya dianjurkan di International Emmy Awards Gala yang diadakan setiap November di Hilton Hotel, Bandaraya New York.[4]